Sabtu, 15 Februari 2014
Doktor 23 Tahun Kelahiran Malaysia
PETALING JAYA – Christina Fang menyenaraikan hobinya sebagai menyanyi dan bermain piano, sama seperti yang digemari remaja lain.
Bagaimanapun, gadis kelahiran Johor Bharu itu sebenarnya seorang doktor berkelayakan penuh yang memasuki sekolah perubatan pada 2005 ketika berusia 15 tahun.
Beliau mencipta sejarah enam tahun kemudian apabila menamatkan pengajian seawal usia 21 tahun.
“Selepas sekolah menengah di Singapura, saya menduduki peperiksaan O-Level sebagai calon persendirian dan kemudian menghabiskan masa selama setahun untuk mengikuti matrikulasi Australia.
“Ibu bapa mahu saya kembali ke tanah air untuk menyambung pengajian, jadi saya menyertai International Medical University (IMU) di sini untuk separuh pertama Ijazahnya,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Ibu bapa beliau, kedua-duanya warga Malaysia, berpindah ke Singapura ketika Dr Fang masih kecil untuk membangunkan kerjaya sebagai remisier.
Dr Fang yang kini berusia 23 tahun berkata beliau bercita-cita menjadi doktor pada usia 12 tahun apabila melihat mendiang neneknya menghidap kanser.
“Dia sentiasa berulang-alik ke hospital. Walaupun kami tahu tiada cara untuk mengubati penyakit itu, rawatan baik diterimanya membolehkan dia terus hidup hingga hari terakhirnya dengan bermaruah.
“Itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjadi doktor jadi saya juga boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit-pesakit saya. Walaupun saya tidak dapat menyembuhkan mereka, saya sekurang-kurangnya dapat memperbaiki kualiti hidup mereka,” katanya.
Menyifatkan pengajiannya di IMU sebagai ‘seronok dan mencabar selama dua setengah tahun’, Dr Fang berkata dia tidak pernah berasa takut untuk belajar bersama dengan orang yang lebih tua daripadanya.
“Saya tidak pernah menyedari jarak usia kerana kami tidak pernah membangkitkannya. Saya dilayan sama seperti pelajar lain,” katanya sambil menyifatkan pengalaman pengajian terakhir selama tiga tahun di Universiti Manchester, Britain sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar.
Selepas menamatkan pengajiannya, Dr Fang menjalani latihan selamat setahun di Furness General Hospital, England sebelum kembali ke Singapura.
Bagaimanapun, Dr Fang berazam untuk kembali ke Malaysia dan memberi perkhidmatan kepada rakyat di negara kelahirannya.
“Pertama sekali saya ingin melanjutkan pengajian dan mahir dalam bidang tertentu tetapi selepas itu, saya akan pasti kembali ke Malaysia,” katanya. – mStar
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar